Bapa Faizal Tahir Ajak Boikot Produk Israel
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Mohd Tahir (dua dari kiri) bersama anaknya, Faizal Tahir (tiga dari kiri) ketika majlis sidang media di Sri Pentas TV3, Rabu. - Foto TV3
BAPA kepada penyanyi dan komposer Faizal Tahir, Dr. Mohd Tahir, 60, yakin umat Islamdan sesiapa yang menentang penindasan Rejim Zionis terhadap Palestin hendaklah memboikot produk Israel.
Menurut beliau, biarpun ramai yang menghentam kekejaman Zionis, namun masih ada yang mengambil ringan tentang isu memboikot produk dari negara itu.
“Ada yang tidak sedar sebenarnya apabila kita membeli produk-produk itu, ia menyumbang kepada pembelian peluru dan senjata mereka (Israel).
“Sedangkan cucu saya yang masih kanak-kanak pun bijak memboikot produk-produk mereka. Apabila saya membawa cucu dan memberitahu hendak membeli produk mereka, dia menjawab sebab apa nak beli produk orang yang membunuh bayi?
“Kita boleh mula melatih anak-anak memboikot produk ini dari kecil dengan menghentikan pembelian kosmetik dan rokok. Secara sedikit demi sedikit ia mampu membantu,” ujar beliau dalam satu sidang media bersama-sama Faizal Tahir di Sri Pentas TV3, Rabu.
Dengan pelantikan Faizal sebagai duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin baru-baru ini, beliau bersyukur dengan anugerah yang dikurniakan oleh Allah itu.
Kata beliau, lebih menyentuh hatinya apabila kempen itu mampu membuatkan Faizal mengubah pemikiran skeptisnya yang sebelum ini ragu-ragu tentang bantuan yang diberikan kepada pelarian Palestin.
Selama ini, penyanyi lagu Sampai Syurga itu tidak pasti sama ada wang yang disumbangkan kepada pelarian itu sampai ke tangan mereka atau tidak.
“Anak kedua saya ini susah untuk mendengar cakap saya dan sukar untuk saya meyakinkannya tentang penyerahan sumbangan itu dari tangan ke tangan.
"Akhirnya, setelah menyertai program ini di Lubnan, dia sendiri yang menyaksikan sumbangan itu diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab di sana.
“Pada mulanya saya tertanya-tanya juga bagaimana TV3 dan Aqsa Syarif Bhd akan menyebarkan maklumat ini. Saya harap Faizal bukan sahaja akan menjadi yakin setelah terlibat dengan program Bersamamu malah membuka mata semua orang,” katanya penuh semangat.
"Bersamamu" Selami Keperitan Pelarian Palestin
Faizal Tahir berkunjung ke rumah keluarga miskin pasangan Atiff Mohamed Khalil dan Amni Munir Ismail di Kem Barajneh, Beirut. - Foto TV3
KUNJUNGAN kru Bersamamu yang terdiri daripada penerbitnya, Siti Hajar Abdullah, jurukamera Rahman Salim dan Pengerusi Aqsa Syarif Bhd, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berjaya merakamkan sebahagian daripada kisah-kisah keperitan hidup pelarian Palestin di Lubnan pada 6 Ogos lalu.Ia sebuah siri yang harus ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama dapat menyelami penderitaan golongan yang ditindas itu.
Rakaman tersebut dipertonton dalam tiga episod khas Bersamamu : Bebaskan Bumi Palestin yang bersiaran pada 25 Ogos lalu serta 1 September dan 8 September akan datang pukul 9.30 malam.
Bersamamu akan menyorot kisah beberapa keluarga yang dikunjungi kru TV3 di kem pelarian di sana. Beberapa khemah pelarian dikunjungi seperti Kem Pelarian Sabra Shatila dan Kem Pelarian Barajneh di Beirut, Kem pelarian Beddewi di Utara Lubnan dan Kem Pelarian Tyre di Selatan Lubnan.
Faizal Tahir sebagai Duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin bersama-sama bapanya, Dr Mohd Tahir (dua dari kiri) dan Pengerusi Aqsa Syarif Bhd, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (tiga dari kanan).
Untuk melihat bagaimana pelarian Palestin berbuka puasa, kru Bersamamu singgah di rumah seorang jurutera bertauliah, Fathi Habbosh yang tidak boleh bekerja kerana bertaraf pelarian.
Bagi menampung kehidupan keluarga, Fathi terpaksa menjual barangan runcit sekitar kem pelarian menggunakan kereta sorong untuk membesarkan anak-anak yang ramai.
Penonton Bersamamu juga dapat menyaksikan kunjungan rombongan ke kem Beddewi di Tarablus (Tripoli) di utara Lubnan yang meninjau keadaan klinik dan sekolah pekak dan bisu.
Kempen Bebaskan Bumi Palestin dilancarkan oleh TV3 bersempena dengan sambutan ulang tahun stesen televisyen itu yang ke-26 pada Jun lalu.
Kempen tersebut bertujuan menyampaikan mesej murni, meningkatkan kesedaran dan keprihatinan di kalangan rakyat Malaysia supaya insaf dan mengambil iktibar terhadap kejadian yang menimpa rakyat Palestin.
Misi Faizal Tahir
Faizal saksikan sendiri penderitaan pelarian Palestin
KETIKA bertemu dengan penyanyi popular ini baru-baru ini, jelas kelihatan di matanya gambaran keperitan dan penderitaan yang dialami beratus-ribu pelarian Palestin akibat kekejaman rejim Zionis.
Hati siapa yang tidak luluh apabila melihat kedaifan anak-anak kecil yang sepatutnya berada di sekolah terpaksa melarat meminta ihsan untuk meneruskan hidup. Usah bicara fasal pendidikan yang sempurna, untuk hidup seperti insan lain pun belum tentu mampu diperoleh mereka.
Kehidupan yang daif lebih 250,000 pelarian Palestin yang terpaksa melarikan diri dari bumi kelahiran mereka disaksikan sendiri Faizal Tahir di Beirut, Lubnan. Kediaman yang tidak sempurna baik dari segi sistem perairan mahupun elektrik, menyentuh hati sesiapa yang melihatnya termasuklah penyanyi ini.
Segala perasaan yang dikongsi Faizal ketika berada di bumi Islam itu turut dikongsi dalam program Bersamamu yang disiarkan sebanyak tiga episod bermula 25 Ogos, 1 dan 8 September ini.
Menurutnya, dia tentu sekali berbangga apabila diundang Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aqsa Syarif bersama produksi Bersamamu TV3 untuk bersama menyelami dan menghayati kehidupan pelarian berkenaan, yang seterusnya menjadi pengalaman cukup berharga lagi menginsafkan.
“Sebelum ini saya banyak juga menjadi duta kepada produk, namun pelantikan sebagai Duta Bebaskan Bumi Palestin ini lebih besar dari segala-galanya. Tanggungjawab cukup besar. Ia bukan untuk promosi produk atau jual barang. Sebaliknya ia untuk memberi kesedaran kepada semua orang dan membuka mata dunia, sampai bilakah penderitaan Palestin akan berakhir.
“Apabila menjejaki kaki ke sana, saya terus sebak melihat suasana yang begitu daif. Saya terpaksa menguatkan semangat, demi menahan air mata daripada mengalir. Saya sedar, saat itu saya seharusnya memberi semangat kepada mereka, bukannya menambah kesedihan yang ada.
“Saya yakin, siapa saja yang pergi ke sana akan tersentuh hatinya. Apabila saya memasuki sebuah rumah di satu daripada 14 kem pelarian di sana dan melihat sendiri keadaannya, barulah saya sedar bertapa bertuahnya kita dilahirkan di Malaysia,” katanya.
Sebagai selebriti, Faizal menganggap dirinya sebagai milik masyarakat dan individu yang paling berpengaruh untuk menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada mereka.
“Saya berharap, dengan pengalaman yang saya paparkan menerusi program Bersamamu ini, sedikit sebanyak ia akan menyedarkan masyarakat, seterusnya memberikan pengetahuan serta keinsafan kepada mereka.
“Saya juga berharap selepas ini lebih ramai lagi selebriti akan mengambil bahagian dalam kempen Bebaskan Bumi Palestin. Dengan bantuan selebriti, penderitaan rakyat Palestin mungkin akan terus mendapat perhatian masyarakat dunia,” katanya yang berjanji akan ke sana lagi pada masa akan datang, untuk terus memberikan sokongan.
Tidak mahu dikaitkan dengan produk Israel
DEK kekejaman rejim Zionis yang sungguh tidak berperikemanusiaan terhadap masyarakat Islam di bumi Palestin, yang sudah berlarutan sehingga enam dekad, timbul perasaan benci, marah yang membuak-buak dalam diri penyanyi ini.
Jika diberikan kekuatan, Faizal nekad untuk tidak lagi mahu meneruskan apa saja komitmen membabitkan dirinya bersama produk Israel selepas ini.
Selain menjadi Duta Bebaskan Bumi Palestin, Faizal turut terikat dengan tugas sebagai duta produk yang dikatakan mempunyai hubungan erat dengan negara itu.
“Memang ada yang menyatakan produk yang diwakili saya adalah milik Israel. Daripada pemerhatian saya, sukar untuk memberikan kesahihan produk itu dimiliki negara terbabit. Saya belum berkesempatan menyelidik perkara itu secara lebih terperinci.
“Sebagai orang Islam memang kita sudah diajar untuk menghormati apa-apa saja perjanjian yang sudah dibuat. Sebelum ini juga, saya sudah menandatangani kontrak perjanjian bersama produk itu dan ia masih berbaki satu tahun lebih lagi. Mungkin tahun depan kontrak ini akan berakhir.
“Jika diperhatikan, kini saya jarang memakai produk itu, dan jika ada pun pada majlis tertentu saja. Setelah mengalami sendiri ‘kezaliman’ yang dilakukan rejim itu, saya berjanji tidak akan menyambung lagi kontrak saya dengan produk terbabit selepas ini,” katanya jelas menunjukkan kekecewaan dan sedaya upaya untuk memboikot produk Israel.
Menurutnya, sejak dulu lagi banyak produk Israel sudah tidak disokong olehnya, sebagai tanda protes dan tidak bersetuju dengan tindakan Zionis.
“Sebenarnya sejak dulu lagi ayah saya sudah mendidik kami adik-beradik untuk memboikot produk Israel dan memang saya tidak menggunakannya.
“Selepas saya mendirikan rumah tangga dan memiliki anak-anak, saya juga perturunkan kepada anak saya untuk tidak menggunakan produk Israel. Mungkin ia tindakan yang kecil saja, tetapi jika semua masyarakat dunia mampu melakukan perkara yang sama sedikit sebanyak kita dapat menghentikan niat jahat Israel untuk terus menindas saudara kita di bumi Palestin itu,” katanya.